Tazkirah

Selamat Menyambut Ramadhan -Puasa Martabat Syariat, Tarekat, Hakikat dn Makrifat

By 19/05/2015 June 17th, 2015 No Comments

Selamat Menyambut Ramadhan -Puasa Martabat Syariat, Tarekat, Hakikat dn Makrifat – DON TRADER

Ramadhan : Puasa Martabat Syariat, Tarekat, Hakikat dan Makrifat

Rasulullah sallaLlahu ‘alaihiwassalam bersabda :

“Ramadhan telah datang kepada kamu yang merupakan bulan berkat dan Allah telah mewajibkan puasa dalam bulan ini. Semua pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup serta dibelenggu syaitan. Ia mempunyai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan dan sesiapa yang tiada bertemunya, ia sangat rugi.” (Imam Ahmad dan An-Nasai)

Ramadhan kini datang kembali. Ada sahabat kita yang telah kembali kepada Allah tanpa sempat bersama dengan Ramadhan kali ini. Kita yang dapat bersama Ramadhan lagi ini pun belum tentu dapat menemuinya lagi di tahun akan datang. Mungkin Ramadhan ini adalah yang terakhir dalam kehidupan kita di alam yang fana ini.

Ramadhan begitu istimewa di sisi Allah dalam kurniaan kepada hamba-hambaNya. Kita bukan kekasih Allah yang dapat melihat dengan kasyaf terhadap perubahan alam dan langit pada bulan Ramadhan, namun kita mengetahui ia amat istimewa melalui sabda-sabda Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam dan tulisan para ulama.
Persiapan diri dalam mengharungi Ramadhan amatlah penting agar kemuliaannya tidak berlalu begitu sahaja. Kita tidak mahu menjadi golongan yang sekadar mendapat lapar dan dahaga, tetapi kita perlu mencapai hakikat yang dikehendaki Allah.

Mari kita mengharungi puasa dengan mencapai maqam Syariat, Tarekat, Hakikat dan Makrifat.
Pada maqam Syariat, kita menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkannya. Pada maqam Tarekat, kita berpuasa pada qalbi dengan menghilangkan ingatan yang lain, hanya kepada Allah semata-mata serta memelihara gerak nafsu, pandangan, pendengaran, perkataan, perbuatan dari perkara-perkara yang diharamkan.

Puasa pada martabat Hakikat, menenggelamkan diri dalam kecintaan dengan berpuasa cinta yang lain melainkan hanya pada Allah dan Rasul. Manakala puasa pada maqam Makrifat ialah dengan membuka cahaya Syuhudiah pada mata hati sehingga berpuasa dari memandang yang lain melainkan Allah.

Puasa pada perut adalah amalan syariat, diamalkan pada bulan ramadhan. Puasa pada qalbi, ruhdan sirr adalah amalan para Salik, Ahli Khawwas, Ahli Khawwas al-Khawwas yang tiada baginya bulan tertentu, diamalkan sepanjang kehidupan mereka demi menyempurnakan maqam kehambaan.
Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan mendalamkan perasaan Kehambaan, Syukur dan Cinta!
Cukuplah wahai sahabat menghitung-hitung amal dan bergembira dengannya. Allah tiada memandang pada bilangan amal yang zahir semata-mata, melainkan memandang kepada hakikat yang dicapai pada qalbinya.
Apa maknanya amal tanpa mencapai hakikat kerana ia tiada akan membawa apa-apa perubahan jiwa dalam mencapai kehambaan. Jangan jadikan puasa sebagai ritual ibadah semata-mata, namun hendaklah masuk ke pintu Ramadhan bagaikan masuk ke pintu madrasah pembinaan rohani untuk menghasilkan iman yang bergetar hatinya apabila menyebut nama Allah.

Firman Allah SWT :

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (al-Baqarah : 183)
Madrasah Ramadhan, masuknya melalui pintu kerahmatan dan keluar melalui pintu keampunan sehingga menemui mutiara ketakwaan. Mutiara takwa disematkan ke dalam qalbu dalam setiap detik nafas kehidupan sehingga memancar kilauannya yang membawa kepada lautandzauk, asrar, hal, fana dan maqam
Titiskan air mata bersama dengan taubat penyesalan kerana tiada menghargai Ramadhan yang menjelma dalam kehidupan yang lalu. Sematkan azam, kuatkan hemah agar kali ini kita dapat mencapai mutiara-mutiara yang indah dalam rahsia lautan Ramadhan kurnia Dzat Yang Maha Agung.

Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam bersabda :

“Semua amalan anak Adam adalah untuk mereka sendiri kecuali puasa, ia adalah untukku dan Akulah yang memberikan ganjarannya…”(Bukhari dan Muslim)

Leave a Reply

Or