Tazkirah

PERNIAGAAN DENGAN ALLAH

PERNIAGAAN DENGAN ALLAH
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

“Hai orang orang yang beriman,
mahukah Aku tunjukkan kepada mu suatu perdagangan (perniagaan)
yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih.
Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan
berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mu.
Itulah yang terlebih baik bagi mu, jika kamu mengetahui.
Nescaya Allah mengampuni dosa mu dan
memasukkan kamu kedalam syurga
yang mengalir dibawahnya sungai sungai dan
ketempat tempat tingal yang baik didalam syurga Aden.
Itulah kemenangan yang agong. Dan (ada lagi) kurnia lain yang kamu cintai
(iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya).
Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang orang Mukmin (61:10-13)”

Wahai manusia, demikian tawaran dari Tuhan yang Maha Kaya lagi Perkasa satu urusniaga yang pastinya sangat menguntungkan! Tidak sebagaimana berurusniaga sesama manusia yang memerlukan modal tenaga, fikiran dan wang ringgit malahan terkadang terlibat pula dengan ampu, bodek dan tumbuk rusuk kerana persaingan sengit sesama sendiri . Tersilap langkah dan haribulan boleh menyebabkan hutang sekeliling pinggang dan akhirnya jatuh muflis!

Sudah sewajarnya sesuatu perdagangan (perniagaan) berlaku dengan satu perjanjian atau kontrak terlebih dahulu sebelum berlakunya urusniaga pertukaran diantara sepenjual dan sipembeli. Bagaimanakah yang dimaksudkan urusniaga perdagangan dengan Allah SWT?

“Sesungguhnya Allah membeli diri dan harta orang orang yang beriman, bahawa untuk mereka itu syurga. Mereka berperang dijalan Allah lalu mereka membunuh atau terbunuh sebagai janji yang benar bagi Allah (termaktub) didalam Taurat, Injil dan al Quran. Siapakah yang lebih menepati janjinya daripada Allah? Sebab itu bergembiralah kamu dengan urusniaga yang kamu buat itu. Demikian itulah kemenangan yang besar (9:111)”

Barang siapa yang beriman TIADA TUHAN SELAIN ALLAH DAN MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH, maka temetri kontrak Aku Janji Persaksian (Bai’ah). Mereka yang beriman itu hanya berserah diri dan hartanya (tawakkal) untuk berjihad kepada Allah dan RasulNya. Jika datang perintah untuk berperang dengan musuh musuh Allah mereka akan berjuang mempertaruhkan nyawa sehingga sanggup terbunuh keranaNya (tidak ada istilah dibunuh apa lagi membunuh diri!) Sesungguhnya bagi mereka itu adalah syuhada dimana yang sebenarnya bukanlah ianya mati disisi Tuhannya.

“Janganlah kamu katakana mati orang orang yang terbunuh pada sabilillah, bahkan mereka itu hidup tetapi kamu tiada sedar (2:154)” dan “Janganlah engkau kira mati orang orang yang telah terbunuh pada jalan Allah, bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya, serta diberikan rezeki (3:169)”

Allah SWT memperjelaskan dengan tegasnya bahawa hanya orang orang yang beriman itu sahaja yang dibeli diri dan hartanya didalam urusniaga yang Dia tawarkan. Tidak beriman seseorang itu kepada Allah dan RasulNya apabila dibacakan al Quran kepadanya, mereka berpaling dan menentang dengan mengatakan itu cerita dongeng dahulu kala! Sekiranya diajak mengambil Aku Janji Persaksian mereka mengatakan telah beriman dan Islam sedari keturunan dan baka nenek moyang terdahulu lagi. Apabila diminta menginfakkan sebahagian dari rezeki mereka bakhil kerana takut berkurang harta yang dimiliki. Diajak berperang menentang musuh agama, mereka sekadar memerhatikan dari jauh kerana apabila kalah mereka rasa terselamat namun apabila menang mereka mahukan keuntungan dari hasil rampasan perang!

Sesungguhnya Allah menjanjikan orang orang yang beriman yang melakukan urusniaga diatas, yang dibeli Allah diri dan hartanya dijanjikanNya kemenangan yang besar dan balasan syurga yang penuh kenikmatan. Kepada Allah, mereka seumpama adalah hamba hambaNya yang sebenarnya beragama Islam yang dari sisiNya. Manakan Islam seseorang itu jika tidak beriman dan tidak mahu beraku janji, masakan ada urusniaga untuk dibeli Allah diri dan hartanya? Perhatikan sambungan QS 9:112, mafhumnya :-

“Mereka orang orang yang taubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang berpuasa (atau mengembara menuntut ilmu), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh dengan maaruf, dan melarang yang mungkar, lagi memelihara batas batas (hukum dan perintah) Allah. Berilah khabar gembira orang orang yang beriman itu (dengan syurga)”

Tuhan sendiri telah menggariskan kreteria tersebut untuk kalangan hambaNya bagi mengambil pelajaran. Sempurnanya taubat seseorang itu apabila sudah dibeli Allah SWT diri dan hartanya, begitu juga dengan kerja kerja ibadah, maka didengar Tuhanlah sesiapa yang memujiNya, berpuasa semata untukNya, mahu pun melakukan ibadat haji dan menuntut ilmu diatas perintahNya semata. Rukuk dan sujud itu bukanlah dalam sholat semata kerana ianya juga sebahagian daripada ibadah seperti ayat sebelumnya. Orang yang beriman itu sentiasa mengajak manusia kepada mengerjakan yang maaruf dan mencegah kepada perkara mungkar. Didalam perjuangan jihad seseorang itu, perundangan Allah menjadi cita citanya untuk ditegakkan diatas muka bumi ini! Demikianlah khabar gembira dari Tuhan buat mereka yang beriman!

“Kami tiada mengutus seorang utusan melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia menerangkan kepada mereka. Maka Allah menyesatkan siapa yang dikehendakiNya dan menunjukki siapa yang dikehendakiNya. Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana (14:4)”

Namun manusia yang engkar tetap didalam kebodohan dan kesombongannya tidak mahu mengambil pelajaran. Mereka dengan sendiri pula meletakkan katogeri dengan cukuplah sekadar ikut ikut beriman seperti nenek moyang dengan melakukan kerja buat ibadah seperti orang Islam berbuat tanpa mahu menerima peringatan ayat ayat Tuhan yang dibacakan kepadanya. Sesungguhnya mereka kufur kepada Allah apabila didatangkan seseorang yang mengajak beriman dengan kalam kalam Tuhan mereka memperolok olok, berpaling, menentang malah memeranginya.

“Apabila mereka menemui orang orang yang beriman, mereka berkata : Kami telah beriman. Tetapi apabila mereka kembali kepada syaitan (pemimpin dan teman mereka), mereka berkata : Sesungguhnya kami bersama kamu, kami hanya berolok olok (dengan orang yang beriman) (2:14)”

Mereka yang menolak tawaran uusniaga Allah SWT akan sentiasa berada didalam ketakutan akan keselamatan diri dan harta benda, bimbang kekurangan dan risaukan kerugian, , tidak pernah puas dan cukup dengan apa yang ada, sehinggalah akhirnya mereka menjadi bakhil dan kedekut, timbul hasad dengki, menyeleweng dan menipu. Mereka akan sentiasa diseliputi dosa dan kufur kepada Allah. Sesungguhnya, demikian itulah mereka sebenarnya berada didalam kerugian didunia mahu pun akhirat. “Mereka itu membeli kesesatan daripada petunjuk, maka tiada beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mendapat petunjuk! (2:16)”

Leave a Reply

Or