Tazkirah

Fikir Hidup Sebenarnya Fikir Akhirat

Fikir Hidup Sebenarnya Fikir Akhirat

Saudaraku yang dikasihi,

Apabila kita berfikir tentang hidup, sebenarnya kita berfikir tentang kematian, apabila kita berfikir tentang kematian, sebenarnya kita berfikir tentang alam barzakh, tentang alam akhirat. Apabila kita berfikir tentang kesudahan hidup, jawapannya hanyalah dua, sama ada saudara akan ke syurga atau ke neraka.

Saudaraku,

Berhati-hatilah, bahawasanya jiwa yang tidak pernah gundah bagaimana kesudahannya di akhir kalam (maut) adalah jiwa yang sudah dihinggapi penyakit takabur, yang merasai ia sudah banyak melakukan kebaikan, sedangkan pada hakikatnya, adakah ia mengetahui apakah segala amalannya diterima oleh ALLAH SWT?  Justeru itu berkata Abu Darda’ r.a. :

“Sesiapa yang tidak pernah berfikir bagaimana akhir hayatnya, sama ada ia mati kufur atau beriman, ia akan mati kufur.”  Na’uzubillah.

Saudaraku,

Persoalan hidup saudara, saudara yang perlu menentukannya. Sama ada saudara hendak ke syurga atau ke neraka. Jangan biarkan oang lain yang menentukan. Jika ada manusia yang membantu saudara, maka bersyukurlah. Tetapi jika tiada orang yang membantu, saudara mesti bangkit mencari jalan untuk keselamatan diri. Jangan hidup seperti pokok dedalu yang tidak mempunyai tapak sendiri untuk hidup atau seperti pohon yang selalu disirami. Jadilah seperti sang burung yang terbang mncari rezerkinya sendiri kerana hidup mengharapkan orang lain adalah kehidupan manusia yang dayus.

Saudaraku,

Hidupkanlah hati sentiasa dengan ALLAH SWT, bersihkanlah hati dengan zikrullah, muraqabah setiap saat, setiap minit, setiap jam… Perhatikan ke mana tertumpunya hati, sama ada kepada dunia atau kepada ALLAH. Hidupkanlah setiap degupan jantung dengan bersungguh-sungguh dengan kalimah ALLAH. Banyakkanlah memohon keampunan di atas kelalaian. Jadikan diri saudara sebagaimana manusia yang sentiasa memakmurkan hati dengan zikrullah dan memakmurkan dunia dengan buah fikiran, tindakan dan segala potensi yang ada. Sentiasalah saudara berfikiran besar dan berkeyakinan pada diri sendiri, moga-moga saudara adalah benteng-benteng yang akan mempertahankan Agama ALLAH dari kejahatan musuhnya, Insya ALLAH.

Saat Kematian

Ketika seseorang itu sedang nazak, ia akan diajar untuk menyebut nama ALLAH. Ketika itu ia tidak lagi disuruh melakukan ibadah lain, melainkan supaya ingat kepada ALLAH. Mati dalam keadaan ingat kepada ALLAH adalah tanda mati dalam iman. Sesungguhnya saat kematian adalah saat yang sangat genting. Ketika itu syaitan menggoncang imannya dengan pelbagai cara, kerana syaitan tidak akan membiarkan seseorang hamba ALLAH mati dalam iman.

Mengucap syahadah atau ingat kepada ALLAH menjelang sakaratul maut tidak semudah seperti yang disangka. Lebih-lebih lagi kalau ia seorang yang banyak berbuat maksiat, cinta dunia dan tidak pernah membuat persiapan untuk menemui ALLAH. Dalam kegawatan menghadapi sakaratul maut itu, kebimbangannya berkisar mengenai hartanya, perniagaannya, anak isteri dan perkara-perkara dunia yang dikejarnya ketika hidup. Syaitan telah mengaburkannya daripada hakikat kematian yang sebenarnya.

Firman ALLAH SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati ALLAH. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”  [aL-Munafiqun: 9]

Alangkah dahsyatnya keadaan ketika menghadapi kematian. Imam Ghazali pernah ditanya kenapa beliau selalu menangis sedang beliau seorang yang kuat beribadah, alim dan wara’. Beliau menjawab, :Sesungguhnya semua itu tidak menjamin apa-apa menjelang saat kematian nanti.”

Berkata Abu Darda’ (ra) :

“Sesiapa yang tidak merasa bimbang sama ada dia mati dalam iman atau kufur, maka dia mati dalam kufur.”

Sufyan at-Thauri berkata:

“Aku tidak takut bertemu dengan ALLAH walaupun membawa dosa yang banyak. Tapi aku yang paling takut ialah bila ALLAH cabut imanku ketika mati.”

Untuk menghadapi kematian yang tidak diketahui saat dan waktunya. Seseorang itu perlu banyak berzikrullah, ingat kepada ALLAH. Apabila sewaktu hidup hati telah dilatih ingat kepada ALLAH sehingga sebati dalam setiap denyut jantungnya, ketika itu kalau ajalnya telah tiba, insya ALLAH ia mati dalam keadaan ingat kepada ALLAH.

Sebab itu lakukanlah apa sahaja amal yang boleh melatih kita untuk ingat kepada ALLAH, sama ada dengan berwirid, membaca aL-Quran, bertahajjud, memerhati kejadian alam dan sebagainya. Berlatihlah mengingati ALLAH mulai sekarang, demi keselamatan ketika menghadapi saat kematian, alam kubur dan di Padang Mahsyar.

Muaz bin Jabal (ra) meriwayatkan RasuluLlah SAW bersabda:
“Tiada seorang yang mengerjakan sesuatu amalan yang lebih selamat baginya dari siksa kubur daripada zikrullah.”

Alangkah ruginya jika masa yang singkat ini disia-siakan daripada mengingati ALLAH kerana sesungguhnya ia berada dalam kesesatan.

Fiman ALLAH SWT:

فَوَيْلٌ لِّلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُم مِّن ذِكْرِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

“Maka kecelakaan besarlah bagi mereka yang telah membatu hatinya untuk mengingati ALLAH. Mereka itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
[az-Zumar : 22]

 

Imbangkan maqam asbab ke dalam Tajrid.Maka sedemikian lihatlah pasaran dengan pandangan Ar Rahman dan Ar Rahim. Jangan Biarkan  diri hilang di dalamnya, Ternggelam dalam kesibukannya.Tergadai kerna kerakusan terhadapnya. Dan barang siapa tiada melihat Allah atau jalan2 kepadanya(taqarrub)dengan menghadapi sesuatu jauhar(dunia) maka mereka masih jauh dari jalan-jalan Allah.

Leave a Reply

Or